Kamaruddin bangkit daripada kesedihan

(Keratan UTUSAN ONLINE)http://www.utusan.com.my

Oleh Shamsiah Zulkafli

KERJAYA Kamaruddin Abdul Ghani, 45, bermula sebagai seorang kerani pada tahun 1985 dengan gaji RM350. Setelah 16 tahun berkhidmat, akhirnya beliau memilih untuk berhenti pada tahun 2001 walaupun ketika itu telah menyandang jawatan sebagai Pemangku Ketua Kerani.

Pada ketika itu, dengan gaji yang mencecah RM2,000, hidup Kamaruddin sekeluarga boleh dikatakan senang. Namun, tekadnya untuk berjaya dalam hidup membuatkan beliau tidak menarik balik keputusan untuk berhenti. Sebaliknya menggunakan masa tersebut untuk lebih fokus kepada perniagaan jualan langsung berperingkat CNI.

Kini setelah tiga tahun menjalankan perniagaan tersebut, Kamaruddin boleh tersenyum bangga dengan pencapaian yang diperoleh. Dengan statusnya sebagai Intan Jutawan, beliau kini mampu memiliki sebuah banglo mewah bernilai hampir RM1 juta di Bukit Istana, Kuantan, Pahang, dengan dua kereta mewah berjenama Mercedes dan Peugeot.

Menceritakan kembali kisahnya, beliau mula diperkenalkan kepada CNI oleh seorang rakan bernama Abdul Rahman Husin semasa masih bekerja sebagai kerani.

Kerja sebagai kerani ketika itu membataskan masanya untuk aktif dalam bisnes tersebut. Selama dua tahun beliau menjalankan bisnes separuh masa dari pukul 9 pagi hingga 11 malam.

“Setiap hari saya peruntukkan selama dua jam untuk bertemu rakan-rakan bagi menerangkan tentang CNI. Begitulah saya sepanjang dua tahun, sampailah saya benar-benar yakin saya mampu berdiri sendiri, jadi saya ambil keputusan untuk berhenti,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya dekat Indera Mahkota, Kuantan, baru-baru ini.

Kamaruddin berkata, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk meningkat dalam perniagaan itu. Hanya dalam masa empat bulan beliau dinaikkan pangkat kepada Pengurus Agensi dengan pendapatan bulanan RM5,128.

“Selepas itu saya sedar, keputusan saya untuk berhenti makan gaji adalah sangat tepat. Saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya turut mengajak rakan-rakan menyertai bisnes ini,” katanya.

Menceritakan mengenai pahit maung yang terpaksa ditempuhi sepanjang tiga tahun menjalankan perniagaan CNI sebelum bergelar Intan Jutawan, beliau berkata, antara kenangan pahit yang terpaksa ditelan ialah kehilangan anak tercinta pada 1999 yang meninggal dunia akibat demam panas dan demam campak.

Paling perit katanya, jiran-jiran dan kawan-kawan menyalahkannya di atas pemergian anaknya itu kerana kebetulan ketika itu beliau menghadiri kursus CNI di Kuala Lumpur.

“Perkara itu terjadi hanya beberapa bulan selepas saya menyertai CNI. Saya diberitahu, anak saya yang berumur lapan tahun diserang penyakit dan berada di hospital.

“Tetapi saya dapat tahu selepas balik dari kursus. Bila saya pergi ke hospital, doktor memberitahu harapan anak saya untuk sembuh sangat tipis kerana kuman sudah menyerang otaknya,” ujar beliau.

Berikutan tohmahan yang diterima, Kamaruddin dan isterinya, Robiah Chik, 42, berkurung selama dua bulan tanpa berbuat apa-apa. Mujurlah ada rakan-rakan yang sanggup membantu. Walaupun tanpa berbuat apa-apa, bonus CNI mereka tidak kurang daripada RM4,000 sebulan.

Cekalkan hati

“Ketika itu saya mula sedar, sampai bila nak sedih begini. Saya dan isteri cekalkan hati dan kami meneruskan perniagaan kami sehingga sekarang,” katanya tersenyum.

Selepas itu Kamaruddin kembali bersemangat. Usaha beliau berbaloi apabila dalam masa tiga tahun sahaja, beliau mencapai status Intan Jutawan. Beliau mempunyai sebuah pejabat di Mersing dan kini turut meluaskan operasi di Kuantan.

“Sekarang saya boleh mencapai jualan sebanyak RM800,000 sebulan berbanding RM500,000 ketika mula-mula menyertai CNI,” jelasnya.

Kamaruddin berkata, selain memiliki rumah banglo dan dua kereta mewah, beliau juga berpeluang menjelajah seluruh dunia selepas menyertai CNI antaranya ke Indonesia, China, Afrika, Eropah, malah telah mengerjakan ibadah umrah.

Mendedahkan rahsia untuk muncul sebagai jutawan perniagaan jualan langsung berperingkat, beliau berkata, asas utama yang perlu diamalkan ialah cintai produk yang ingin dipromosikan kepada orang luar.

Selain itu katanya, komitmen dan disiplin juga penting dalam perniagaan CNI. Sepanjang tiga tahun bersama CNI, beliau tidak pernah meninggalkan disiplin-disiplin dalam bisnes iaitu jualan, penajaan, perkhidmatan dan kursus.

Katanya, empat asas utama itu jika diikuti dan dilaksanakan, tidak mustahil bagi sesiapa juga untuk mencapai pangkat tertinggi dalam perniagaan.

“Selain itu, kita sendiri kena sayang dan cinta dengan produk sebelum menjualnya kepada orang lain. Dalam CNI misalnya, produk yang paling laris atau killer product ialah Royal Jelly.

“Cara untuk kita cintai produk, kita perlu menggunakannya, baru kita boleh ceritakan keberkesanannya kepada kawan-kawan,” jelasnya.

Menurut Kamaruddin, bisnes ini memang hebat. Ada bisnes lain yang hanya mementingkan kesenangan individu, tetapi CNI ibarat sebuah keluarga besar.

“Kita akan membantu dan berkongsi dengan ahli lain untuk membantu m melebarkan perniagaan. Nasihat saya, jangan takut mencuba bisnes seperti ini,” katanya.

Beliau boleh ditemui di Pusat Pengedaran CNI Kuantan

No comments: