CNI terima penghargaan lahirkan usahawan bumiputera berjaya

(Keratan UTUSAN ONLINE) http://www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Syarikat jualan langsung, CNI Holdings Bhd. (CNI) telah menerima penghargaan khas daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) atas kecemerlangan syarikat tersebut melahirkan ramai usahawan bumiputera berjaya di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CNI, Sam Cheong berkata, pihaknya amat terharu dengan penghargaan tersebut kerana ia merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan CNI untuk melahirkan usahawan bumiputera berjaya di negara ini.

‘‘CNI telah berjaya melahirkan 50 orang usahawan bertaraf Intan Jutawan di kalangan bumiputera yang merupakan 60 peratus daripada mereka yang menjawat jawatan tinggi dalam syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Kata Sam Cheong, CNI mempunyai kira-kira 200,000 usahawan di negara ini dengan 70 peratus daripada mereka adalah bumiputera.

Pada tahun ini, pihaknya juga telah menerima 60,000 pelanggan baru dengan 70 peratus adalah bumiputera.

CNI berharap dapat menambah bilangan pelanggan pada tahun depan dan sekali gus meneruskan kecemerlangan yang dicapai serta dapat menghasilkan lebih banyak produk bermutu menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), katanya.

Jelasnya, pada masa ini, CNI mempunyai 300 produk dan 70 peratus daripada produk tersebut dibuat sendiri oleh syarikat tersebut.

Tambah Cheong, pengurusan syarikat juga berminat meluaskan pasaran di luar negara pada masa depan.

‘‘China merupakan destinasi yang bakal dimasuki pada tahun depan, selain meninjau pasaran di Asia Tengah,’’ katanya.

Pada masa ini, syarikat jualan langsung itu telah hadir di lapan buah negara dan Indonesia menjadi pasaran utama kumpulan dengan menyumbang lebih 50 peratus daripada jualan keseluruhan syarikat.

No comments: