Oleh SAYED HESHAM IDRIS
|
|
‘KEAJAIBAN’ produk CNI mengubah hidup seorang suri rumah, Siti Aminah Jair, dari Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching, Sarawak, yang pernah menderita sakit barah leher selama bertahun-tahun.
Malah, penglibatannya dalam perniagaan jualan langsung produk CNI turut mengubah hidupnya daripada seorang penjual pisang goreng kepada usahawan berjaya.
Berusia 41 tahun, ibu kepada lima cahaya mata ini sama sekali tidak menduga hasil amalan mengambil salah satu produk terlaris CN, Royal Jelly, akhirnya menyembuhkan penyakit yang dideritainya.
Bercerita saat ‘terpikat’ dengan produk jualan langsung popular itu, segala-galanya bermula pada akhir 1990, iaitu ketika dia disahkan menghidap barah leher.
Sebelum diperkenalkan dengan CNI, dia merawat penyakitnya dengan kaedah moden dan tradisional.
Namun, tiada satupun ubat yang serasi sehingga pada tahun 2000, dia mencuba Royal Jelly dan dalam masa sama menjalani rawatan kimoterapi di hospital.
“Selain kimoterapi saya juga mengambil Royal Jelly sebanyak enam paket sehari.
“Hasilnya penyakit saya berkurangan sehinggakan rawatan kimoterapi yang sepatutnya saya lakukan 12 kali sebulan dikurangkan kepada empat hingga enam kali sebulan.
“Saya bersyukur kerana ‘dipertemukan’ dengan produk CNI yang ternyata serasi dengan saya,” katanya.
Sejak itu, Siti Aminah menceburi secara serius jualan langsung CNI dan penat lelahnya mencari down line berbaloi apabila dia mencapai peringkat Pengurus Agensi Zamrud dalam tempoh tidak sampai dua tahun.
Pencapaian ke tahap itu membolehkan dia menerima sebuah kereta jenis Toyota Prado yang bernilai RM168,000.
Melihatkan kejayaan yang dicapai, suaminya, Abang Mohd. Nor Abang Hindi, 54, mengambil keputusan berhenti kerja makan gaji di sektor perkhidmatan awam pada 2003 bagi membantunya dalam menjual produk CNI.
Kesenangan hidup
Ketika inilah Siti Aminah mula merasa menikmati kesenangan hidup setelah bertahun-tahun menjalankan perniagaan menjual makanan.
“Saya pernah menjual pisang goreng dan berniaga di kantin sebuah institut pengajian tinggi di Kota Samarahan pada sekitar tahun 1996,” katanya.
Malah, kejayaan dalam mencapai jualan sehingga ke tahap Pengurus Agensi Zamrud membolehkan dia dan suami melancong ke luar negara seperti Indonesia, China dan menunaikan umrah.
Namun, sejurus dia mencapai status Pengurus Agensi Zamrud, dia berdepan ujian getir dalam apabila ditimpa pelbagai insiden malang yang hampir mematahkan semangat untuk meneruskan usaha dalam bidang tersebut.
Segala-galanya bermula pada Jun 2003 apabil dia kehilangan kereta Toyota Prado akibat dicuri ketika menghadiri majlis perkahwinan adiknya di Sarikei.
Belum hilang kesedihan akibat kenderaannya dicuri, pusat jualan CNI miliknya di Kota Samarahan pula dipecah masuk sebanyak tiga kali dan semua produk yang disimpan dilarikan.
Tidak lama kemudian, anak perempuannya yang berusia 17 tahun menghadapi masalah jantung sehingga terpaksa menjalani pembedahan pada penghujung 2005.
Masalah yang datang bertimpa-timpa menyebabkan penyakit lama Siti Aminah menyerang semula dan dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi sekali lagi.
Masalah yang dialaminya telah menjejaskan kedudukan down line yang mula berkurangan.
Malah, kerana tidak ‘turun padang’ mengadakan sesi penerangan, ramai yang menyangka dia sudah tidak bersama syarikat tersebut lagi.
Walaupun dihimpit pelbagai dugaan, semangat Siti Aminah ternyata kental dan berazam untuk ‘bangkit’ semula dalam perniagaan jualan langsung itu.
“Apa yang berlaku saya anggap sebagai ujian dan tidak pernah terlintas untuk saya meninggalkan perniagaan yang sudah saya bina sekian lama.
“Kini saya sudah pulih dan mahu bangkit semula dalam perniagaan ini
“Saya amat berterima kasih kerana sokongan keluarga, sahabat, rakan usahawan, up line, rakan perniagaan serta organisasi,” katanya.
Kini Siti Aminah kembali dengan semangat baru untuk menyambung perjuangannya membina hidup yang lebih bermakna menerusi CNI.
Azamnya mahu mencapai ke tahap Pengurus Agensi Intan sebelum tahun 2010 yang bakal melayakkannya bergelar jutawan.
“Saya tidak mahu mengenang apa yang berlaku sebaliknya menjadikan ia satu pengajaran dalam hidup saya.
“Saya akan bersungguh-sungguh untuk membina semula apa yang pernah saya capai sebelum ini.
“Cuma saya harapkan saya akan terus sihat dalam meneruskan perjuangan ini,” katanya bersemangat.
No comments:
Post a Comment