AMALAN dan pengambilan makanan yang tidak seimbang di kalangan masyarakat khususnya penduduk bandar merupakan antara punca pelbagai penyakit mudah menyerang.
Malah bebanan kerja di pejabat pula telah menyebabkan mereka lebih cenderung mengambil makanan segera sebagai pilihan untuk mengisi perut yang kosong.
Gaya hidup `mudah' yang dipraktikkan oleh warga kota tanpa disedari menjerumuskan mereka ke dalam perangkap penyakit seperti darah tinggi dan masalah jantung.
Pengarah Eksekutif Creative Network International (CNI), Dr. Ching Eu Boon berkata, pengambilan makanan yang tidak seimbang seperti produk makanan segera adalah antara punca darah dalam tubuh manusia mengandungi bahan-bahan toksik.
Menurutnya, kesan sampingan akibat pengambilan makanan yang tidak berkhasiat boleh menyebabkan darah manusia lama-kelamaan membeku apabila usia meningkat tua.
``Sistem tubuh manusia menjadi lemah apabila seseorang itu sudah lanjut usia dan ini boleh menyebabkan mereka mudah diserang pelbagai penyakit,'' katanya.
Beliau memberitahu, masalah tersebut boleh diatasi dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Jelas Dr. Ching, tubuh manusia hanya dapat menghasilkan enzim yang sedikit dan jika amalan pemakanan seimbang tidak diamalkan, kandungan enzim dalam badan tidak mencukupi.
``Malah masalah tekanan perasaan juga boleh menyebabkan kandungan enzim berkurangan dalam tubuh kita,'' ujarnya.
Beliau berkata, enzim merupakan sejenis protein kompleks yang unik dan berperanan sebagai pemangkin penting kepada metabolisme supaya sistem tubuh dapat berfungsi dengan sempurna.
Selain itu, ulasnya lagi, kekurangan enzim juga akan membantutkan tumbesaran selain menghalang proses penghadaman dan penghasilan tenaga.
Bagi mengatasi masalah kekurangan enzim yang dihadapi oleh kebanyakan orang, seorang pakar perubatan dari Taiwan, Profesor Dr. Cheng Ming Ho telah menjalankan kajian dan penyelidikan untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan itu.
Dalam kajian mengenai enzim selama 30 tahun itu, beliau telah berjaya menemui rumusan yang mampu mengaktifkan enzim untuk membantu menyelesaikan masalah sistem tubuh yang tidak berfungsi dengan sempurna.
Ia merupakan sejenis serbuk yang dinamakan Life Enzyme hasil campuran sayur-sayuran antaranya ialah jagung, gandum, nanas, kacang putih, betik, pisang, rumpai laut, germa padi, tomato, labu, burdock dan formasanus.
Menurut Dr. Ching, pelbagai keistimewaan ditemui daripada Life Enzyme termasuk kadar keaktifan yang tinggi berbanding keaktifan enzim yang lazimnya hilang pada suhu 50 darjah Celsius ke atas.
``Tetapi dalam penemuan rumusan terbaru ini, keaktifannya bukan sahaja tidak hilang malah menjadi semakin aktif.
``Apabila suhu ditingkatkan ke-80 darjah Celsius, keaktifannya adalah tiga kali lebih tinggi berbanding suhu biasa,'' jelasnya lagi.
Selain itu, kebiasaannya keaktifan enzim begitu mudah dipengaruhi oleh kelembapan dan suhu yang panas.
Bagaimanapun, kesan-kesan dan tindak balas itu tidak berlaku kepada rumusan ciptaan Dr. Cheng kerana ia tidak memerlukan sirap atau sebarang bahan penstabil bagi memantapkan keaktifannya.
Malah ia juga tidak perlu diletakkan dalam peti sejuk sebaliknya cuma disimpan di tempat kering dalam keadaan suhu bilik kerana keaktifannya kekal mantap sehingga 10 tahun ke atas.
Perlu dinyatakan, formula berkenaan dicipta tanpa mengandungi bahan-bahan yang meragukan khususnya bagi orang Islam seperti bahan pengawet, agen antioksida, sakarin, pewarna, perisa dan enzim haiwan.
Ramuan ini juga tidak mengandungi logam berat, sisa-sisa racun rumpai, antibiotik, kuman potogenik dan tanpa sebarang ubat farmasi atau dadah.
Serbuk ramuan ciptaan Dr. Cheng ini dihasilkan sepenuhnya daripada bahan-bahan berasaskan sayur-sayuran.
Ditanya mengenai fungsi lainnya, Dr. Ching memberitahu, ramuan tersebut berperanan menyelaraskan persekitaran dalaman tubuh badan manusia.
Pengambilannya pada setiap hari akan membantu mengalkalikan darah ke paras yang rendah, menghapuskan sisa-sisa toksid dalam tubuh, memelihara keseimbangan bakteria dalam usus, menyihatkan sel-sel, mendorong pencernaan, meningkatkan daya ketahanan dan mengekalkan keseimbangan tubuh badan.
Bagi individu yang sering berhadapan dengan masalah kesihatan seperti ulser dan pelbagai penyakit kulit, ramuan berkenaan berupaya meningkatkan fungsi sel-sel darah putih dan membantu penyembuhan sel yang tercedera.
``Selain menggalakkan sel-sel darah putih membunuh bakteria, ia juga menggalakkan penghasilan sel-sel baru bagi menyembuhkan penyakit dari akar umbinya,'' ujar Dr. Ching.
Kata beliau, enzim turut berperanan menyingkirkan sisa metabolisme yang terkumpul di dalam darah dan tempat-tempat bermasalah bagi memulihkan fungsi asalnya.
Jelasnya lagi, walaupun tidak berfungsi menyembuhkan sebarang penyakit tetapi ia berupaya mengawal dan membantu pencernaan serta penyerapan makanan.
Selain itu, ia turut menguraikan virus yang menyebabkan radang, menyingkirkan kolesterol dalam darah berasid dan mengekalkan paras alkali yang rendah bagi kelancaran pengaliran darah.
Ramuan ini juga berkesan membantu menyembuhkan kecederaan dalaman akibat terjatuh ataupun pesakit mengalami hentakan yang kuat pada tubuh mereka.
Pada masa ini Dr. Cheng membina kilang di Taiwan yang khusus mengeluarkan formula serbuk ramuannya itu sebagai satu produk kesihatan.
No comments:
Post a Comment