Kepayahan hidup buat Mahathir lebih tabah









http://www.utusan.com.my


(Keratan UTUSAN ONLINE)

Oleh Zuhayati Yazid

BERSUNGGUH-sungguh dan berdisiplin dalam setiap pekerjaan yang dilakukan menjadi intipati utama kejayaan Mahathir Sahabudin sehingga berjaya digelar Jutawan CNI.

Sejak dari dulu lagi dia sememangnya percaya pada kata-kata bahawa sembilan daripada 10 rezeki datangnya daripada perniagaan.

Justeru, Mahathir menyimpan angan-angan untuk memiliki perniagaan sendiri, yang akhirnya menjadi kenyataan setelah didatangi oleh kawan serumahnya yang meminta menyertai perniagaan jualan langsung.

Bekas graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, pada peringkat permulaannya, dia hanya mengeluarkan modal sebanyak RM87.95 bagi membeli barangan keluaran syarikat jualan langsung tersebut.

“Pada permulaan saya tidak menjual barangan tetapi hanya menjual `peluang’ kepada rakan-rakan di pejabatnya,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Anak jati kelahiran Johor ini turut mengakui pada peringkat awal, dia turut dijadikan model untuk menggunakan produk tersebut.

“Jika kita sendiri tidak menggunakan produk ini bagaimana cara kita untuk membuktikan kehandalan produk ini. Malah sehingga kini saya masih menggunakan produk keluaran CNI,’’ katanya.

Dia yang memegang prinsip ‘bukan senang menjadi senang dan bukan susah menjadi susah’, menganggap kejayaan yang dikecapi kini tidak datang bergolek.

“Saya percaya pada kuasa Allah, jika kita ikhlas dan kuat bekerja pasti diberikan laluan untuk berjaya. Kata orang jangan simpan di dalam hati,” katanya.

Setelah menyertai perniagaan tersebut, fokus beliau hanya pada satu matlamat iaitu untuk membantu dan mengubah kehidupan keluarga. Beliau mahu ayah dan ibunya hidup lebih senang.

Jika tidak jadi kaya memadailah mampu hidup selesa dan dapat menunaikan ibadat haji.

Amalan hidup

Menurut Mahathir, untuk berjaya banyak cabaran yang perlu ditempuh termasuk beberapa kali terpaksa tidur di dalam kereta di tepi lebuh raya semata-mata mengejar masa.

“Masa itu saya masih bekerja sebagai jurutera dan pada masa sama menyambung pengajian peringkat sarjana. Kalau orang lain tidur lapan jam saya cuma tidur empat jam sehari,” katanya.

Istilah rehat tidak wujud dalam jadual hariannya, malah ketika menghadiri kuliah dan menunggu pensyarah masuk kelas, dia sempat menjual barangan kepada rakan-rakan sekelas.

Selain itu dia juga menyusun strategi sendiri seperti mengadakan home party dari rumah ke rumah, kerana cara itu lebih praktikal.

Beliau juga tidak ketinggalan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dengan mementingkan aspek berbudi bahasa, kerana ciri-ciri ini bukan sahaja penting dalam bidang perniagaan tetapi juga untuk dijadikan amalan hidup harian.

Mengimbau pengalaman lalu, Mahathir mengakui beliau bukan berasal dari keluarga yang senang, malah lahir dan membesar di sebuah kampung yang terletak jauh di pedalaman.

Bapanya menyara keluarga dengan mengusahakan kedai runcit, manakala ibunya pula seorang suri rumah sepenuh masa.

Dia pernah ke sekolah tanpa wang saku kerana takut untuk meminta wang daripada bapanya memandangkan keadaan keluarga yang susah dan sebagai anak lelaki, dia selalu beralah dengan adik-adiknya yang lain.

Begitupun, keadaan tersebut tidak menghalang dirinya untuk muncul cemerlang dalam pelajaran sehingga berjaya masuk ke UiTM dalam jurusan kejuruteraan mekanikal dan memperoleh segulung ijazah.

Tamat pengajian, Mahathir ditawarkan bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta dengan gaji RM1,800 sebulan. Dengan pendapatan sebanyak itu dia menanggung adik-beradiknya yang lain.

“Sebagai anak lelaki saya rasa kasihan melihat ayah yang terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga, sebab itu apabila dapat gaji saja saya hantar separuh daripadanya kepada ibu di kampung, ’’ katanya.

Kini, segalanya tinggal kenangan di mana setelah hampir empat tahun menjadi sebahagian daripada keluarga besar CNI, Mahathir mula merasai ‘manisnya’ hasil daripada kerja kerasnya selama ini.

Melalui perniagaan tersebut, dia kini mempunyai sebuah kondominium mewah, dua buah kereta iaitu Toyota Camry dan Honda Civic, melancong ke serata dunia serta memperoleh pendapatan bulanan yang melebihi lima angka.

Sebenarnya, dia tidak pernah bermimpi mampu menikmati kehidupan seperti sekarang, segalanya kerana kesungguhan selain bersikap jujur dan saling membantu.

No comments: