GMP jamin mutu produk

AMALAN Pengilangan Baik (GMP) merupakan sebahagian daripada keperluan yang harus dikemukakan oleh syarikat atau pengusaha kosmetik dalam permohonan mendaftarkan produk mereka. Ini khususnya kepada produk luar negara bagi memastikan produk yang masuk ke negara ini berkualiti dan menepati keberkesanannya.

Bagaimanapun, kelonggaran diberi kepada pengusaha-pengusaha tempatan di mana mereka masih boleh mengemukakan permohonan tanpa sijil GMP.

Pengarah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Normal Sharif berkata, sebagai ganti pengusaha kosmetik tempatan masih dikehendaki mengemukakan lesen perniagaan yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (BPT).

Katanya, kelonggaran tersebut bagi menarik lebih ramai pengusaha-pengusaha tampil mendaftarkan produknya sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan tamat pada akhir tahun ini.

Begitupun, katanya, penerapan amalan GMP akan terus digiatkan di kalangan pengusaha-pengusaha tempatan walaupun mereka telah mendaftarkan produknya.

Ini, katanya penting kerana ia dapat menjamin mutu produk dan pada masa yang sama, meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap produk membabitkan aspek keselamatan dan keberkesanan kepada orang ramai.

Selain itu, ia juga bagi menggalakkan lebih banyak penghasilan produk bermutu di negara ini.

``Dengan adanya kesedaran terhadap amalan GMP, pematuhan ke atas prosedur kerja dan jaminan mutu dapat dikuatkuasakan,'' ujarnya.

Langkah ini juga katanya, dapat memastikan pengeluar lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan lebih banyak barangan bermutu.

GMP boleh didefinisikan sebagai proses pengeluaran bagi barangan yang dibuat secara teratur, mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan. Mengenai cara atau strategi untuk mengamalkan GMP, setiap syarikat mungkin mempunyai formula mereka tersendiri.

Bagaimanapun, penekanan ke atas pematuhan GMP perlu ditingkatkan di kalangan pengilang kerana ia dapat menjamin bahan mentah yang digunakan bermutu dan selamat sementara proses pengeluaran produk akhir pula lulus syarat kawalan mutu.

Menerusi amalan ini, setiap proses pengeluaran perlu menjalani sistem kawalan yang ketat dan pelaksanaannya mengikut prosedur sebagaimana ditetapkan.

Sebagai pengguna adalah penting untuk mengetahui sama ada amalan bagi penghasilan barangan itu dipatuhi mengikut kriteria pihak berkuasa. Dengan adanya amalan GMP, kerajaan dapat memastikan sama ada produk yang dihasilkan sudah melalui proses yang betul atau tidak.

No comments: