CNI melabur RM15 juta bina kilang


SHAH ALAM 25 Sept. - CNI Corporation Sdn. Bhd. (CNI) salah sebuah syarikat jualan langsung terkemuka di negara ini melabur sebanyak RM15 juta bagi membina kompleks pekilangan pertama negara ini mendapat taraf amalan pengeluaran baik (GMP).

Kompleks pekilangan GMP itu adalah untuk mengeluarkan produk makanan dan minuman serta farmaseutikal yang pertama mendapat status itu di negara ini.

Pengarah Urusan CNI, P.C. Koh berkata, pelancaran serta perasmian kilang tersebut akan dilakukan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng esok.

Katanya, dengan mendapat pengiktirafan GMP ini membolehkan produk-produk keluaran CNI ini bukan sahaja dapat dipasarkan untuk kegunaan tempatan ia juga memperolehi pasaran meluas di peringkat antarabangsa.

''Kesemua proses pengeluaran melalui kaedah GMP ini dilakukan secara automasi sepenuhnya,'' katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya di sini hari ini.

Di samping itu, kata Koh, dengan pelancaran kilang baru ini keluaran barangan CNI mencapai kapasiti produk tempatan sebanyak 80 peratus dan ini sudah menepati keperluan kerajaan dalam menjalankan perniagaan jualan langsung.

''Pada masa kini, kami mempunyai lebih 100 barangan dari produk makanan sehingga farmaseutikal dan produk makanan yang paling popular ialah kopi ginseng,'' katanya.

Dari segi jumlah pengusaha yang mendapat faedah dari CNI, beliau berkata, di Malaysia sahaja pengusaha yang terlibat berjumlah 200,000 orang dan begitu juga di Indonesia.

''Kita sentiasa memasarkan barangan yang berkualiti tinggi dan unik dan oleh sebab itulah kita berada di pasaran.

''Kita juga merancang untuk menghasilkan lebih banyak produk untuk kegunaan orang ramai dan kesemuanya hasil kajian teliti dari pakar-pakar kami,'' katanya.

CNI selain beroperasi di Malaysia juga membuka cawangan di Indonesia, Hong Kong dan Amerika syarikat.

''Pada tahun lalu kita mencatat jualan berjumlah RM104 juta tetapi pada tahun ini kita menganggarkan jualan kita merosot sedikit kepada RM86 juta ekoran kegawatan ekonomi yang dialami oleh negara,'' katanya.

Mengenai usaha sama di peringkat antarabangsa, P.C Koh berkata, projeknya di China iaitu penanaman buah-buahan di sebuah kawasan seluas 1,666 ekar telah mula mengeluarkan hasil.

''Kita juga menjalankan operasi agrotourism di kawasan berkenaan untuk menarik pengunjung mengunjungi kawasan tersebut,'' katanya.

Beliau juga berkata, melalui usahasama di negara tersebut juga, CNI merancang suatu hari nanti untuk memulakan perniagaan langsung di negara tersebut.

No comments: