|
Oleh Roslah Othman
NAMA Dr Azman Ching tidak asing di kalangan mereka yang menceburi perniagaan jualan langsung terutama di kalangan mereka yang terlibat dalam perniagaan Multi Level Marketing (MLM).
Berusia 34 tahun, anak muda berasal dari Klang Selangor ini telah menghasilkan beberapa buah buku dan antara yang berjaya melonjakkan namanya ialah Khazanah MLM, Khazanah Inspirasi, Khazanah 52, Menuju Kejayaan dan terbaru Dari 0 Sampai Jutawan.
Semua buku itu ditulis berdasarkan pengalaman Dr. Azman sendiri yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang jutawan selepas meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif semata-mata mahu terlibat dalam jualan langsung.
``Nyata, keputusan yang saya buat 10 tahun yang lalu itu membuahkan hasil.
``Cemuhan yang saya terima suatu ketika dahulu, telah meletakkan diri saya di tahap ini,'' katanya yang kini bergelar jutawan CNI.
Ditanya rahsia kejayaannya, Dr. Azman Ching mengakui, selain doa ibu dan ayah, isteri dan anak-anak adalah penyuntik semangat kejayaannya.
Dr. Azman Ching atau nama sebenarnya Ching Eu Boon mendapat gelaran `Azman' daripada teman-teman yang rata-rata adalah orang Melayu.
``Dari kecil saya berkawan dan dibesarkan di kalangan keluarga Melayu.
``Saya tidak dipanggil dengan nama Cina sebaliknya mereka lebih suka memanggil saya dengan nama Azman sehinggalah ke hari ini,'' katanya.
Dia amat bertuah kerana memiliki sebuah keluarga bahagia di samping isteri dan anak-anak yang cukup memahami kerjayanya.
Baginya, kemewahan dan kekayaan yang dimiliki di sebaliknya berdiri sebuah keluarga yang memahami dan saling menghormati.
``Keluarga adalah segala-galanya selain kekayaan yang dimiliki oleh saya sekarang ini,'' katanya sambil mengakui, insan yang sentiasa berada di belakangnya ialah isterinya, Ivy Lin, 34.
Ditanya peranannya sebagai seorang suami dan ayah, Dr. Azman Ching yang punya tiga cahayamata berkata, dia tidak pernah sesekali menyerahkan tugas menjaga dan mendidik anak-anak sepenuhnya kepada isteri dan pembantu rumah.
``Saya sendiri percaya dalam mendidik anak-anak, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab bersama.
``Lebih-lebih lagi, anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang,'' katanya kepada Keluarga.
Menurut Dr. Azman Ching, dalam mendidik anak-anaknya, Yanny Ching, 8, Coco, 7, dan paling bongsu Qing-Haor, 2 setengah tahun, dia lebih gemar menerapkan nilai-nilai kasih sayang dalam diri anak-anaknya.
Baginya kasih sayang umpama baja yang ditabur ke tanah, andai subur tanah maka peluang untuk mendapatkan pohon yang berbunga cantik dan berbuah elok sangat tinggi.
Katanya, tugas sebagai pengarah Eksekutif Organisasi di Creative Network International (CNI) (M) Sdn. Bhd memang sentiasa menuntut masanya.
``Saya perlu keluar daerah dan ada kalanya, tugas itu memaksa saya meninggalkan keluarga berminggu-minggu lamanya,'' akuinya jujur.
Namun katanya, ia bukan penghalang kepada mereka sekeluarga untuk terus menjalinkan hubungan erat.
``Saya sering menjadikan telefon sebagai alat komunikasi paling rapat dengan anak-anak,'' akui bekas pelajar bidang Pengajian Melayu di salah sebuah kolej swasta di Johor Baharu ini.
Katanya, perkataan I love you sering menjadi ungkapan untuk isteri dan anak-anak manakala ayat I love you papa sering diterap ke dalam minda anak-anak.
Mengeratkan hubungan dengan keluarga, Dr. Azman Ching berkata, dia gemar mengambil kesempatan membawa keluarganya ke luar negara untuk satu tempoh yang agak lama, satu atau tiga minggu setiap tahun.
``Saya tidak pernah meletakkan kesibukan sebagai alasan menolak hasrat mereka untuk bersama-sama saya,'' ujarnya.
Memang Dr. Azman Ching menerima banyak undangan mengadakan ceramah pada hujung minggu Sabtu dan Ahad.
Katanya, jika keadaan itu berlaku, dia cuba mencari masa lain bersama anak-anak.
Ditanya rahsia kejayaannya bergelar jutawan dalam masa yang sesingkat 10 tahun sahaja, Dr. Azman Ching mengakui, sikap positif adalah kunci segalanya.
Katanya, sikap positif merupakan permulaan yang baik bagi seseorang dalam melalui kehidupan.
``Saya sentiasa menganggap setiap apa juga perkara yang datang mempunyai hikmahnya.
``Berpandangan positif terhadap semua perkara termasuk masalah yang dihadapi berupaya membuatkan seseorang itu lebih terbuka dan berani,'' katanya.
Pun begitu, Dr. Azman Ching berkata, dia sentiasa percaya bahawa setiap kejayaan bermula daripada ahli keluarga yang harmoni. ``Sebab itulah, saya sentiasa berdoa dan berusaha anak-anak terdidik dan menjadi insan berguna,'' katanya.
Kata Dr. Azman Ching, sama ada berhasil atau tidak, dia tahu bahawa semua itu bergantung kepada diri sendiri.
Menyingkap pencapaiannya, Dr. Azman Ching memberitahu, dia memperolehi gelaran doktor falsafah dari St. George Universiti International Oxford, England, pada 1999.
Dr. Azman Ching pernah bertugas sebagai guru sebelum menjawat jawatan setiausaha eksekutif di salah sebuah syarikat swasta dan melibatkan diri dalam jualan langsung.
``Bertekad untuk berjaya, saya terpaksa menelan cemuhan dan sindiran daripada teman-teman juga ahli keluarga yang lain pada awal penglibatan,'' katanya.
Kejayaannya bergelar Jutawan Intan dalam masa tidak sampai setahun selepas menyertai CNI membuktikan bahawa dia benar-benar meletakkan kesungguhan dalam bidang yang diceburinya itu.
``Saya sendiri tidak pernah menyangka sama sekali apa yang dilakukan selama 10 tahun ini akhirnya membuahkan hasil,'' katanya kala mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment